Sebuah kilang plastik di Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam terbakar pagi tadi, operasi pemadaman melibatkan 35 anggota bomba.
SHAH ALAM: Sebuah kilang plastik di Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor dilaporkan terbakar pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 11.53 pagi.
Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran melibatkan sebuah kilang plastik berkeluasan 200×300 kaki persegi.
“Api berjaya dikawal pada 1.30 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengesahkan kejadian itu tidak melibatkan sebarang mangsa.
Operasi pemadaman melibatkan seramai 35 pegawai dan anggota dari enam balai bomba.
Balai terlibat ialah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, BBP Kapar, BBP Kota Anggerik, BBP Rawang, BBP Batu Arang dan BBP Petaling Jaya.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.







