KPM komitmen perkukuh ekosistem pendidikan negara selaras titah Agong, fokus pada RPM 2026-2035, martabat bahasa Melayu dan penguasaan sejarah
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15.
Titah Seri Paduka Baginda menekankan kepentingan pendidikan sebagai tunjang pembangunan negara.
KPM memaklumkan titah tersebut menjadi peringatan kepada seluruh warga kementerian untuk terus komited memperkasa ekosistem pendidikan.
Ia merupakan asas pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan Malaysia.
Titah menegaskan sebarang usul mengiktiraf sistem pendidikan lain perlu selari dengan Dasar Pendidikan Negara.
Ia juga perlu memenuhi keperluan memartabatkan Bahasa Melayu serta memperkukuh pengajaran mata pelajaran Sejarah Malaysia.
“Pada waktu ini, KPM sedang memberi tumpuan terhadap pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan Kurikulum Baharu Prasekolah,” menurut kenyataan KPM.
RPM 2026-2035 merupakan kesinambungan kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang telah tamat tahun lalu.
Matlamat utama RPM adalah untuk meningkatkan mutu pendidikan negara demi anak-anak Malaysia.
“Seperti yang dititahkan Seri Paduka Baginda, RPM 2026-2035 memberi penekanan kepada usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris serta bahasa-bahasa lain sebagai nilai tambah kepada murid,” menurut kenyataan itu.
KPM memaklumkan titah Seri Paduka Baginda itu akan dilaksanakan demi penambahbaikan pendidikan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia.








