KPWKM fokus pada kebajikan anak-anak dalam kes wanita dua suami di Terengganu, sementara aspek agama dan undang-undang ditangani pihak berkuasa lain
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberi tumpuan kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak berikutan kes seorang wanita di Terengganu yang didakwa mempunyai dua suami.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau akan mendapatkan maklumat terperinci segera untuk meneliti bentuk bantuan yang boleh disalurkan.
“Setakat ini, memandangkan saya baru tiba malam tadi dari Turkmenistan, saya masih belum menerima maklumat yang terperinci,” katanya selepas satu program di sini hari ini.
Beliau menekankan bahawa kebajikan anak-anak yang terlibat perlu terus terpelihara.
Nancy berkata, kes itu kini sedang ditangani oleh Jabatan Hal Ehwal Islam Terengganu dan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.
KPWKM akan meneliti perkara itu sebaik menerima laporan lengkap bagi menentukan langkah bantuan.
“Hal-hal berkaitan agama dan perundangan akan diserahkan kepada kementerian serta agensi berkaitan selaras dengan bidang kuasa masing-masing,” katanya.
Media di Kelantan sebelum ini melaporkan seorang wanita mendedahkan perbuatan kakak iparnya yang didakwa berkahwin lagi di sempadan Thailand pada November lepas.
Wanita itu mendakwa abang kandungnya ditipu apabila mendapati isterinya telah berkahwin dengan lelaki lain lebih setahun lalu. – Bernama







