Seorang lelaki berusia 67 tahun maut di tempat kejadian selepas kereta Toyota Vios dipandunya terbabas di bahu jalan di Desa Mawar, Farlim
GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga emas maut selepas kereta Toyota Vios dipandunya terbabas di bahu jalan di Desa Mawar, Farlim.
Mangsa, Lim Soon Teik, 67, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian muka.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang John Sagun Francis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.37 pagi.
“Sebaik tiba, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbabas di bahu jalan, dengan seorang mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian muka,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa telah diberikan rawatan awal oleh pasukan perubatan KKM yang turut berada di lokasi.
Bagaimanapun, pihak KKM mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan oleh pihak bomba sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.05 pagi.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki maut dalam kemalangan motosikal di Nibong Tebal malam tadi.
John berkata mangsa R. Mahendran, 61, terjatuh ke dalam longkang sedalam tiga meter di Jalan Sungai Daun.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM akibat kecederaan parah yang dialaminya.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.12 malam dan setibanya di lokasi, mendapati mangsa telah dikeluarkan dari longkang oleh orang awam,” katanya.
Pihak bomba kemudian membantu mengangkat mayat untuk diserahkan kepada pihak berkuasa bagi urusan bedah siasat.








