Pakar kewangan tekankan kepentingan prinsip asas belanjawan, tabung kecemasan dan putuskan kitaran hutang untuk kestabilan kewangan jangka panjang.
PUTRAJAYA: Azam kewangan tahun baharu perlu bermula dengan kembali kepada prinsip asas pengurusan gaji, menurut seorang jurulatih belanjawan.
Nafisah Amran berkata kekuatan kewangan tidak terletak pada formula rumit tetapi bermula dengan asas memastikan pendapatan bulanan tidak habis dibelanjakan.
Beliau berkata prinsip paling asas ialah mesti ada baki yang diperuntukkan untuk simpanan dan masa depan.
“Paling asas, kita kena ada ‘emergency fund’ dulu,“ katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.
Tinjauan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2024 mendapati 61% rakyat Malaysia menghadapi kesukaran menyediakan RM1,000 bagi tujuan kecemasan.
Nafisah berkata antara punca gagal membina simpanan ialah kemudahan kredit “beli sekarang bayar kemudian” (BNPL) serta pinjaman kecil.
Data BNM menunjukkan jumlah transaksi BNPL melonjak kepada RM7.1 bilion dalam separuh kedua 2024 berbanding RM4.9 bilion pada separuh pertama tahun sama.
Nilai transaksi BNPL meningkat kepada kira-kira RM9.3 bilion pada enam bulan pertama 2025 melibatkan lebih 102 juta transaksi.
Beliau menegaskan pembinaan tabung kecemasan kini merupakan keperluan asas bagi melindungi kestabilan kewangan isi rumah.
Nafisah menyarankan pembinaan tabung kecemasan secara kecil tetapi konsisten berbanding sasaran tinggi yang menyebabkan ramai berputus asa.
Beliau menolak persepsi tabung kecemasan perlu dikira berdasarkan jumlah gaji seseorang.
“Kalau jumlahnya RM5,000 sebulan, ‘emergency fund’ kita kira berdasarkan angka itu, bukan (jumlah) gaji,“ jelasnya.
Mengulas kaedah belanjawan 50:30:20, Nafisah berkata formula itu boleh dijadikan panduan awal namun bukan penanda aras mutlak.
Beliau berkata ramai gagal membina belanjawan kerana terlalu fokus pada sasaran menyimpan 20% daripada gaji.
“Jangan sebab tak capai 20 peratus terus tak buat (bina tabung). Kita mula dengan apa yang kita mampu,“ katanya.
Nafisah berkongsi bahawa duit perlu diikat dengan hala tuju hidup, bukan sekadar dihabiskan setiap kali gaji diterima.
“Kalau bujang, mungkin impian hendak melancong. Kalau ada anak, kita tengok umur anak,“ katanya.
Beliau berpendapat banyak keluarga terjejas akibat perbelanjaan besar yang datang secara berturutan setiap tahun seperti musim persekolahan dan perayaan.
Beliau menyarankan pembentukan “sinking fund” atau tabung khas bagi perbelanjaan bermusim dengan menyimpan sedikit demi sedikit sepanjang tahun.
“Kita cuba setahun saja buat ‘sinking fund’. Bila sampai raya, kita guna tabung itu. Kita tak guna duit gaji,“ katanya.
Mengenai bantuan kerajaan, Nafisah berpandangan rakyat tidak wajar bergantung sepenuhnya pada bantuan yang bersifat tidak tetap.
“Kalau ada bantuan, kita boleh guna untuk ‘top up’ perbelanjaan raya supaya tak kacau (duit) gaji. Gaji itu kita simpan,“ ulang beliau.
Nafisah turut menyarankan amalan mencatat perbelanjaan sebagai kunci kepada disiplin kewangan.
Menyentuh pelarasan gaji fasa kedua untuk penjawat awam, beliau berkata sebaiknya tambahan gaji asas disalurkan kepada pelaburan atau tabung kecemasan.
“Kalau yang ada tunggakan pula, lunaskan tunggakan itu dulu. Bila dah stabil, baru upgrade ke simpanan dan pelaburan,“ nasihatnya.
Nafisah menegaskan perubahan kewangan bermula dengan keberanian untuk melakukan perubahan kecil secara konsisten.
“Apabila kitaran perbelanjaan defisit berjaya diputuskan, kesannya bukan sahaja dirasai dalam jangka pendek,“ katanya.
Beliau berkata ia membuka ruang kepada persaraan yang lebih terurus dan kesejahteraan generasi akan datang.
“Break the cycle sekali saja, tapi snowball effect besar. Kita bukan saja baiki kewangan sendiri, kita kurangkan beban untuk generasi seterusnya,“ katanya. – Bernama








