Lereng bukit setinggi 20 kaki runtuh di Taman Bukit Teratai Ampang dipercayai akibat kebocoran paip bawah tanah, tiada rumah atau mangsa terlibat.
AMPANG: Sebuah lereng bukit setinggi 20 kaki runtuh di Taman Bukit Teratai Ampang pagi tadi.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kebocoran paip bawah tanah.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada 9.19 pagi.
Sebuah jentera bersama enam anggota dan sebuah Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada 9.28 pagi didapati berlaku runtuhan tanah pada ketinggian 20 kaki,” kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar.
Beliau menegaskan kejadian itu tidak melibatkan rumah ataupun mangsa.
Bomba kini menjalankan kerja pemantauan di lokasi runtuhan.
Kerja itu bagi memastikan keadaan selamat dan tidak membahayakan penduduk kawasan berkenaan.








