LHDN telah selesai memproses dan mengkreditkan peruntukan tambahan bayaran balik cukai RM4 bilion kepada 110,074 pembayar cukai.
PUTRAJAYA: Keseluruhan peruntukan tambahan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM4 bilion telah selesai diproses dan dikreditkan.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan proses itu dilaksanakan dari 9 hingga 24 Disember dan melibatkan 110,074 kes.
Ini selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Disember lalu untuk meningkatkan peruntukan bayaran balik daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion.
Secara keseluruhan, LHDN telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM19 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 24 Disember.
Jumlah itu melibatkan 3,632,003 kes bayaran balik.
Untuk tempoh 1 Januari hingga 8 Disember, sebanyak RM15 bilion telah diproses dengan lebih tiga juta kes direkodkan.
Dana tambahan RM1 bilion pertama yang diperuntukkan telah menyelesaikan tunggakan bayaran balik yang berusia melebihi tiga tahun.
Dana RM3 bilion berikutnya pula diproses untuk pembayar cukai dengan amaun bayaran balik berusia dua ke tiga tahun.
Tumpuan diberikan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
LHDN menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank mereka tepat dan terkini.
Hal ini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.
Terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul.
Bayaran balik juga tidak dapat diproses jika melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain, atau syarikat penerima telah digulung.
“LHDN akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik,” menurut kenyataan LHDN.
Keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan PKS.








