Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan dakwaan pelantikan ejen pemungut JPJ melibatkan komisen, tegaskan tiada bayaran daripada jabatan
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan tuduhan pelantikan ejen pemungut baharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melibatkan komisen atau mengaut keuntungan.
Beliau berkata syarikat pemohon biasanya platform teknologi yang ingin memudahkan pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan JPJ sebagai nilai tambah.
Mereka mesti mengembalikan 100% nilai kutipan kepada kerajaan.
“Antaranya platform jual beli kenderaan dalam talian yang membantu pelanggan jelaskan saman sebelum jual kereta, kemudian tukar hak milik serta pembaharuan Lesen Kenderaan Motor,” katanya menerusi video di Facebook.
Loke menjelaskan syarikat tersebut mahukan status ejen pemungut untuk menyelaraskan semua transaksi berbanding berurusan dengan JPJ sebanyak tiga kali.
“Mereka bukan sahaja tak dapat komisen, malah sesetengah transaksi seperti tukar hak milik, mereka kena bayar JPJ.”
Beliau menambah aplikasi MyJPJ lebih mudah untuk transaksi sekali beri.
Dengan perkembangan pendigitalan, lebih banyak platform dalam talian akan memohon status ejen pemungut dan kementerian akan memudah cara.
Sebanyak 10 ejen pemungut telah dilantik sejak 2016 tanpa JPJ membayar sebarang komisen.
“Pembangkang menguar-uarkan ejen pemungut kini akan mendapat komisen daripada setiap transaksi JPJ.”
“Memang sangat menguntungkan kalau mendengar naratif pembangkang tetapi kisah sebenarnya tidak.”
Loke turut menyatakan Kerajaan Perikatan Nasional pernah melantik ejen pemungut pada 29 April 2022.
“Tidak pula digambarkan sebagai mengaut keuntungan atau menggadaikan JPJ kerana mereka tahu apa mereka sedang sebarkan itu adalah palsu.”
Semalam, Ramssol Group Bhd melalui anak syarikat Rider Gate Sdn Bhd mengesahkan pelantikan rasmi sebagai ejen kutipan berkuasa JPJ.
Syarikat itu memaklumkan melalui portal aplikasi Rider Gate, rakyat boleh mengakses platform perkhidmatan digital sepenuhnya untuk transaksi JPJ.
Transaksi tersebut termasuk pembaharuan LKM, pembayaran saman trafik dan pindah hak milik kenderaan dengan caj nominal bagi setiap transaksi. – Bernama







