the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, December 19, 2025
25.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Mahkamah benarkan Abu Sahid dapatkan pasport sementara ke London

Mahkamah Sesyen benarkan Tan Sri Abu Sahid Mohamed dapatkan pasport sementara untuk hantar anak ke universiti di London pada Januari 2026

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed (dalam gambar), untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara sementara.

Pasport itu dibenarkan bagi membolehkan Abu Sahid, 74, menghantar anak perempuannya ke universiti di London pada Januari tahun depan.

Hakim Suzana Hussin membenarkan pasport itu diserahkan sementara hari ini dan perlu dikembalikan kepada mahkamah pada atau sebelum 30 Januari 2026.

“Sehubungan itu, mahkamah membenarkan pemohon (Abu Sahid) ke United Kingdom (UK) pada 12 Jan hingga 28 Jan 2026,” kata Suzana.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry untuk mengenakan syarat tambahan.

Syarat yang ditolak itu adalah melarang tertuduh daripada berurusan dengan mana-mana akaun bank miliknya di UK sepanjang tempoh perjalanan.

Mohamad Fadhly berkata mahkamah boleh mengguna pakai peruntukan Seksyen 388 dan 389 Kanun Tatacara Jenayah berkenaan kuasa mahkamah memberikan syarat tambahan.

Peguam Datuk Jasbeer Singh yang mewakili Abu Sahid membantah permohonan syarat tambahan tersebut.

Beliau berhujah pihak pendakwaan gagal mengenal pasti kewujudan akaun bank berkenaan.

“Permohonan syarat tambahan ini tanpa terlebih dahulu mengenal pasti sama ada terdapat mana-mana akaun bank, di mana akaun bank tersebut, akaun bank apa, berapa banyak wang yang ada di dalamnya… saya percaya ia agak tidak adil kepada tertuduh,” kata peguam itu.

Jasbeer Singh menambah semua akaun bank Abu Sahid di Malaysia telah dibekukan.

Beliau berkata sekiranya syarat tambahan itu dikenakan, ia akan menyukarkan tertuduh menampung bayaran yuran pengajian anaknya di luar negara.

Abu Sahid didakwa atas lima pertuduhan menyalahgunakan lebih RM458.5 juta wang milik syarikat.

Wang itu dikatakan diamahkan kepadanya dalam akaun bank di Taman Tunku dan Taman Serdang Perdana antara 3 Mei 2016 hingga 21 Oktober 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, sebatan dan denda.

Beliau turut berdepan 10 pertuduhan memindahkan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM116,449,536.12.

Wang itu didakwa dipindahkan kepada lima individu dan empat syarikat pembinaan.

Bagi tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abu Sahid didakwa melupuskan hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM22,802,612.86.

Dakwaan itu adalah dengan membuat pengeluaran tunai melalui 15 keping cek daripada akaun miliknya antara 4 Mei 2016 hingga 19 September 2018.

Pertuduhan pengubahan wang haram dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang terlibat. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

Wake Up Dead Man takes Knives Out to church

Rian Johnson’s Wake Up Dead Man is a darker, quieter Knives Out entry, shifting focus to Josh O’Connor’s troubled priest as faith, guilt and murder collide.
spot_img

Popular Categories