Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tegaskan Malaysia negara bebas dan berdaulat dalam hubungan antarabangsa, terus jalin kerjasama dagang dengan semua kuasa besar.
BUKIT MERTAJAM: Malaysia kekal sebagai negara bebas dan berdaulat dalam menjalin hubungan antarabangsa tanpa tunduk kepada mana-mana kuasa besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pendirian itu membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan dagang dan pelaburan dengan semua negara termasuk Amerika Syarikat, China, Brazil dan Afrika Selatan demi kepentingan ekonomi rakyat.
“Betul kita baik dengan Amerika Syarikat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua di Tapak Ekspo Seberang Jaya.
ALSO READ: Anwar kritik pembangkang bidas ART tanpa baca perjanjian
Anwar menegaskan beliau akan menghadiri sidang kemuncak G20 meskipun Presiden AS Donald Trump mengarahkan semua wakil AS tidak hadir.
“Saya akan hadir kerana Malaysia negara merdeka, berdaulat dan bebas, kalau kita tunduk kepada arahan Amerika, saya tidak akan pergi,” katanya.
Beliau berkata penandatanganan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas dengan AS tidak menghalang kerjasama dengan negara lain termasuk dalam sektor nadir bumi.
“Ada yang mengatakan nadir bumi ini hanya dengan Amerika Syarikat, tidak benar sama sekali,” tegasnya.
Anwar menyatakan di Pahang, Lynas Rare Earths Ltd merupakan pelaburan dari Australia manakala JS Link membawa pelaburan baharu RM600 juta.
“Di Perak pula, nadir bumi itu dengan negara China,” katanya.
Pendekatan pragmatik itu penting bagi memastikan Malaysia terus menarik pelaburan dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor dan tenaga hijau.
Malaysia dan AS menandatangani ART pada 26 Oktober lepas semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Perjanjian itu merupakan cadangan AS bagi merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25% kepada 19%. – Bernama







