Kerangka Strategik Ekonomi Penjagaan Malaysia 2026-2030 dilancarkan untuk wujudkan ekosistem inklusif dan 50,000 penjaga profesional menjelang 2030.
KUALA LUMPUR: Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Malaysia 2026-2030 dilancarkan hari ini bagi memastikan ekosistem ekonomi penjagaan yang inklusif dan mampan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pelan hala tuju kebangsaan itu bertujuan memperkasa sistem penjagaan yang lebih tersusun dan berdaya tahan.
Beliau menekankan kerjasama strategik antara kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan antarabangsa sebagai faktor utama memperkukuh agenda ekonomi penjagaan negara.
“Rakan strategik kami termasuk kerajaan Australia, UNDP, Kiddocare dan Asyikin Holdings, memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini,” katanya.
Nancy berkata pelan strategik itu dibina berasaskan lima tonggak utama iaitu tadbir urus kukuh, laluan kerjaya, advokasi, kolaborasi strategik serta galakan terhadap penyelidikan, data dan teknologi.
Pelan tersebut turut menekankan aspek perlindungan dan pembangunan kerjaya bagi penjaga profesional untuk jaminan pekerjaan dan keselamatan lebih baik.
“Tanpa rangka kerja ini, agak sukar untuk kita melaksanakan program secara terancang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan The New Frontiers in the Care Economy Conference (CARECON).
Beliau menegaskan keperluan penjaga mempunyai laluan kerjaya yang jelas, keselamatan kerja dan keyakinan diri untuk terus berkhidmat secara profesional.
Nancy berkata Malaysia mengambil pendekatan ‘benchmarking’ terhadap amalan terbaik negara lain namun akan menyesuaikannya mengikut konteks tempatan.
“Kita boleh menjadikan negara luar sebagai penanda aras, tetapi tidak semuanya sesuai diserap kerana budaya, demografi dan undang-undang kita berbeza,” jelasnya.
Mengenai status pelaksanaan, Nancy berkata kementeriannya telah memulakan pelbagai inisiatif dalaman sejak tahun lepas bagi melatih penjaga yang berkhidmat di bawah kementerian.
Usaha itu selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan bilangan penjaga mahir kepada 50,000 orang menjelang 2030 di bawah Rancangan Malaysia ke-13.
CARECON berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 November sempena penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan tahun ini.
Penyertaan lebih 200 peserta dari negara anggota ASEAN hadir dalam persidangan tersebut. – Bernama




                                    





