Malaysia bercita-cita menjadi pusat rujukan teknologi trafik dan lebuh raya terulung ASEAN melalui pameran MyARTTE 2025 di MITEC
KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat menjadi hab atau pusat rujukan teknologi trafik dan lebuh raya terulung di rantau ASEAN menerusi penganjuran Malaysia ASEAN Road Traffic Technology Exhibition 2025 (MyARTTE).
Pameran selama tiga hari itu bermula 3 November di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Presiden Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata program sulung berskala besar itu dijangka menarik penyertaan lebih 500 peserta industri serta lebih 5,000 pelawat dalam dan luar negara.
Beliau menyatakan MyARTTE dianjurkan sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia dan akan menampilkan teknologi terkini lebuh raya, trafik pintar dan mobiliti masa depan.
“Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai titik rujukan kepada semua pengendali lebuh raya di rantau ini,” katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.
Zakaria menekankan syarikat konsesi Malaysia kini giat memperkenalkan teknologi baharu bagi memastikan infrastruktur dan aset lebuh raya kekal dalam keadaan terbaik dan bertaraf dunia.
Beliau berkata penganjuran acara itu akan menampilkan 150 ruang pameran termasuk pempamer dari China, Korea, Taiwan, dan Jerman dengan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan trafik.
Antara teknologi yang akan diketengahkan ialah penggunaan AI untuk pengesanan sebarang insiden kemalangan, kerosakan, kesesakan serta insiden luar jangka di lebuh raya.
“Sistem AI ini akan meningkatkan kecekapan dari sudut pengesanan, pelaporan dan arahan pelan mitigasi kepada Pusat Pengurusan Trafik dan Pasukan Ronda,” jelasnya.
Sistem AI tersebut kini sedang digunakan di lebuh raya Divisyen Tol IJM seperti Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Pantai Baru (NPE), dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).
Untuk Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), sistem AI ini masih dalam peringkat sistem pengujian.
Zakaria turut berkongsi mengenai penggunaan AI pada kenderaan peronda bagi mengesan sebarang halangan dan kerosakan di lebuh raya serta pelan mitigasi kesesakan seperti lorong pintar pada waktu puncak.
Beliau berharap penganjuran MyARTTE akan membuka peluang kerjasama strategik antara pemain industri tempatan dan luar negara.
“Apa yang paling penting ialah hasil daripada program ini diharap dapat memberikan manfaat langsung kepada pengguna lebuh raya,” katanya.
Manfaat tersebut merangkumi aspek keselamatan, keselesaan dan kecekapan perjalanan untuk semua pengguna.
Zakaria menggesa semua penggiat industri, pelajar, dan pihak berkepentingan untuk hadir ke program dan pameran sepanjang tiga hari ia berlangsung. – Bernama










