Mangsa banjir di Sabah dan Sarawak meningkat kepada 832 orang, manakala keadaan di Johor menunjukkan pemulihan dengan hanya 27 mangsa lagi.
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak terus meningkat, manakala keadaan di Johor menunjukkan tanda pemulihan.
Sehingga petang tadi, keseluruhan mangsa yang terjejas di ketiga-tiga negeri itu ialah 859 orang.
Di Sabah, jumlah mangsa meningkat kepada 619 orang daripada 220 keluarga.
Peningkatan itu berikutan pertambahan mangsa di empat pusat pemindahan sementara di daerah Beaufort, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
Di Sarawak, jumlah mangsa di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, Miri meningkat kepada 213 orang daripada 73 keluarga.
Mangsa yang dipindahkan melibatkan penduduk dari lapan kampung di sekitar Bekenu.
Sementara itu, di Johor, keadaan banjir semakin pulih dengan jumlah mangsa menurun kepada hanya 27 orang.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata hanya satu pusat pemindahan masih beroperasi di Balai Raya Kampung Batu Badak.
Pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Kampung Tandong telah ditutup petang tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang.








