Mangsa banjir di Sabah dan Sarawak meningkat kepada 1,706 orang di pusat pemindahan. Beaufort catat jumlah mangsa tertinggi.
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak semakin meningkat kepada 1,706 orang yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini.
Di Sabah, jumlah mangsa dipindahkan meningkat mendadak kepada 1,399 orang daripada 488 keluarga.
Lapan pusat pemindahan kini beroperasi di tiga daerah terjejas iaitu Beaufort, Kota Belud dan Tenom.
Beaufort mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 587 orang, diikuti Tenom (535 orang) dan Kota Belud (277 orang).
Mangsa di Beaufort ditempatkan di Pusat Pemindahan Kekal Dewan Slagon dan PPS Dewan Residensi PR1MA Woordford Estate.
Bagi daerah Kota Belud, mangsa berada di Dewan Kampung Lentigi dan Dewan Masyarakat Tun Said.
Di Tenom, empat PPS dibuka iaitu Dewan Terbuka Labut 2, Rumah Kebudayaan Kg Ponontomon, Rumah Kebudayaan Mandalom Lama dan Rumah Kebudayaan Pantongan Saga.
Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini manakala status bencana di Kota Belud masih menunjukkan trend peningkatan.
Di Sarawak, jumlah mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Bekenu, Miri meningkat kepada 307 orang daripada 113 keluarga.
Mereka yang dipindahkan membabitkan penduduk dari lapan kampung di sekitar Bekenu.
Sementara itu di Johor, jumlah mangsa banjir kekal 27 orang daripada sembilan keluarga dengan satu PPS masih beroperasi di Segamat.
Pengerusi JPBN Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata PPS Balai Raya Kampung Batu Badak menempatkan mangsa dari dua kampung sejak 28 Disember lepas.
Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat berada pada paras waspada manakala Jeti Sungai Tekam, Segamat pada paras amaran.








