Suzaimah Che Azis, 34, dan Hassan Shazali, 52, maut dalam nahas SUV di Kuala Berang ketika pulang dari mengurus persiapan perkahwinan mereka
KUALA BERANG: Seorang pengusaha kantin dan pasangannya maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) di sini.
Mangsa dikenal pasti sebagai Suzaimah Che Azis, 34, dan Hassan Shazali, 52.
Ibu Suzaimah, Fauziah Mahmood, 58, memaklumkan anaknya itu dalam perjalanan pulang ke Lebir, Gua Musang bersama pasangannya setelah membuat persiapan majlis perkahwinan di Terengganu.
Menurut polis, terdapat baju pengantin dalam kenderaan berkenaan ketika kejadian.
Fauziah berkata Suzaimah tidak memaklumkan kepadanya akan ke Terengganu ketika kali terakhir mereka berhubung kira-kira 11.30 pagi pada hari kejadian.
“Biasanya Ja (Suzaimah) akan maklumkan saya dahulu kalau nak ke mana-mana,” katanya di Jabatan Forensik Hospital Hulu Terengganu.
Beliau mendapat berita kematian daripada jiran sebelum disahkan polis kira-kira 7.30 malam.
Fauziah berkata mangsa yang mempunyai tiga anak berusia antara tujuh hingga 15 tahun merancang majlis perkahwinan kecil-kecilan pada 25 Dis ini.
“Antara persiapan yang telah dibuat ialah lima dulang hantaran,” katanya.
Jenazah Suzaimah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lebir, Gua Musang petang ini.
Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Hassan, Che Norhashimah Hassan, 50, berkata beliau terkejut apabila dihubungi polis kira-kira 8 malam tadi.
Che Norhashimah berkata suaminya merupakan Penolong Kanan Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir.
Beliau memaklumkan mereka kini dalam proses perceraian dan sudah hampir tiga bulan tinggal berasingan.
“Arwah adalah seorang guru dan ayah yang baik,” katanya.
Jenazah Hassan akan dikebumi di Tanah Perkuburan Kampung Kedai Menanti di Pasir Puteh, Kelantan. – Bernama







