MARDI kekal sebagai penyedia teknologi dan kepakaran untuk perkasa sektor agromakanan, sokong agenda keterjaminan makanan dan ekonomi negeri
KUALA KANGSAR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan terus berperanan sebagai penyedia teknologi, pengetahuan serta kepakaran dalam sektor agromakanan negara.
Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata usahawan sektor itu pula menjadi rakan strategik dalam mengkomersialkan inovasi.
Ini bagi menyokong agenda keterjaminan makanan negara dan pembangunan ekonomi negeri secara mampan.
“Aspirasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menekankan peningkatan produktiviti domestik dan pengukuhan rantaian nilai makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Bertemu Pelanggan MARDI Perak dan Karnival Usahawan MARDI Perak 2025 di Kuala Kangsar.
Mohamad Zabawi menambah penggunaan teknologi moden dan penglibatan agropreneur muda memerlukan kerjasama erat antara MARDI dan para usahawan.
Beliau berkata penganjuran program itu mampu memperkukuh hubungan dua hala dengan masyarakat dan memperkasa pembangunan usahawan sektor agromakanan.
Program itu menjadi platform strategik untuk MARDI mendekati pelanggan di peringkat akar umbi.
Ia juga bagi mendengar keperluan sebenar di lapangan dan memastikan teknologi yang dibangunkan praktikal serta memberi impak langsung.
“Program Hari Bertemu Pelanggan ini mencerminkan iltizam MARDI untuk sentiasa berada dekat dengan masyarakat,” ujarnya.
Manakala Karnival Usahawan MARDI Perak pula membuktikan peranan MARDI sebagai pemangkin pembangunan usahawan agromakanan dan agroindustri.
Kejayaan sektor pertanian dan agromakanan ketika ini amat bergantung kepada sinergi kukuh antara penyelidikan, pemindahan teknologi serta keupayaan usahawan.
Mohamad Zabawi berharap program seumpama itu dapat diteruskan serta diperkasa pada masa hadapan.
Beliau mahu penglibatan lebih luas daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya belia dan usahawan baharu.
Program sehari itu menyediakan pelbagai pengisian termasuk pameran dan jualan produk usahawan bimbingan MARDI.
Turut disediakan adalah sesi khidmat nasihat teknikal serta perniagaan, demonstrasi teknologi pertanian dan penyampaian bahan tanaman kepada usahawan perintis.








