Thursday, November 6, 2025
23.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

MARDI perluas pengeluaran ayam saga untuk tampung permintaan pasaran

The Sun Webdesk

MARDI akan tingkatkan pengeluaran ayam saga, baka ayam kampung tempatan yang tahan lasak dengan harga pasaran RM15-RM25 sekilogram

ROMPIN: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan memperluas usaha pengeluaran ayam saga bagi menampung permintaan terhadap ayam kampung baka tempatan itu.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sejak 2021, kira-kira 1.3 juta ekor ayam saga telah dikeluarkan.

Beliau menyatakan MARDI akan meneruskan usaha ini melalui Rancangan Malaysia Ke-13 kerana potensinya yang besar.

“Antaranya kita akan mengagihkan baka ayam saga kepada penternak yang berminat selain mereka boleh membeli di ladang pembaka,” katanya selepas mesyuarat dan lawatan kerja di MARDI Muadzam Shah.

Ayam saga merupakan baka hasil penyelidikan jangka panjang MARDI sejak 2008 dan dibangunkan sepenuhnya daripada sumber genetik ayam kampung tempatan.

Ternakan itu mempunyai sifat tahan lasak dan sesuai diternak dalam pelbagai sistem pengeluaran termasuk sistem separa intensif dan lepas bebas.

Harga pasaran ayam saga adalah antara RM15 hingga RM25 sekilogram.

Mohamad berkata penternakan ayam saga juga akan dilaksanakan di Pulau Tioman dalam masa terdekat bagi membantu nelayan menjana pendapatan ketika musim tengkujuh.

Beliau menegaskan usaha ini bukan sahaja memperkukuh industri ayam kampung negara malah menyokong agenda keterjaminan makanan.

Sementara itu, kerajaan menyasarkan pengurangan import benih sebanyak 30% menjelang 2040 antaranya melibatkan kelapa dan ikan bawal emas.

“Banyak benih yang kita import antaranya sayur-sayuran, ikan dan baka ayam, kita nak kurangkan kerana melibatkan kos mencecah bilion,” katanya.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam kenyataan memaklumkan antara keputusan mesyuarat adalah mengukuhkan hala tuju benih kelapa dengan sasaran kadar sara diri 100% menjelang 2035.

Majlis Benih Negara juga memutuskan untuk melaksanakan pengeluaran benih ikan bawal emas secara domestik bagi memperkasakan industri akuakultur negara. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img