Suspek lelaki berumur 41 tahun itu direman hingga Khamis.
SEREMBAN: Suspek utama kes penemuan mayat wanita di dalam beg yang ditanam di sebuah rumah di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau pada Khamis, direman tujuh hari bermula dari hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Muhammad Idzam Jaafar berkata perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Farha Sulaiman di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Suspek berumur 51 tahun itu dibawa polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau dan tiba kira-kira 9.45 pagi tadi diwakili peguam Sean Dudley.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Muhammad Idzam sebelum ini melaporkan lelaki berkenaan ditahan di kawasan Genting Sempah, kurang 24 jam selepas penahanan suspek pertama di Melaka, petang semalam.
Suspek lelaki berumur 41 tahun itu direman hingga Khamis.
Dalam pada itu, turut dilaporkan identiti sebenar mayat wanita terbabit masih belum dapat dikenal pasti berikutan jasad mangsa yang sudah mereput dan dipercayai meninggal dunia melebihi tiga hari.
Sementara itu, Muhammad Idzam berkata polis masih memburu sekurang-kurangnya tiga lagi suspek berhubung kes berkenaan dan keterangan ramai saksi telah diambil.
“Identiti mangsa juga masih belum dikenal pasti sebab keadaan mayat yang sudah mereput, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) beberapa ahli keluarga telah diambil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata siasatan awal turut mengesyaki rumah yang menjadi lokasi penemuan mayat itu mempunyai kaitan dengan suspek utama yang juga seorang penganggur, namun tidak dapat disahkan ketika ini.








