the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, June 30, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

MB: Jangan jadikan masjid, surau di N.Sembilan pentas ceramah politik

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengingatkan ahli politik supaya tidak menjadikan masjid dan surau di negeri ini sebagai pentas untuk berceramah politik, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata ia bagi memastikan institusi berkenaan tidak disalah guna selain menjaga keharmoniannya, sekali gus memelihara kesucian agama Islam.

Katanya larangan ke atas mana-mana ahli politik atau wakil rakyat daripada menggunakan masjid sebagai ‘tapak’ ceramah juga sudah lama dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.

“Kita ingatkan mereka yang datang berceramah ke sini, tidak boleh berceramah politik, kena hati-hati, kita tak nak perkara ini merosakkan institusi masjid. Kalau nak berceramah, buatlah ceramah umum di luar…janganlah kacau masjid dan surau.

“Wakil rakyat kita tak ada ceramah di masjid, kita hormat, dulu ada wakil rakyat yang baca khutbah tapi kita dah maklumkan tak dibenarkan dia baca khutbah. Kita tak mahu ada ucapan politik dalam masjid, itu sahaja,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata tiada sekatan bagi penceramah tertentu untuk mengadakan ceramah di negeri ini setakat ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata semua pihak perlu menghormati dan akur terhadap arahan pihak berkuasa agama negeri mengenai larangan ahli politik menyampaikan kuliah atau ceramah politik di masjid dan surau. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings