the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 29, 2025
27.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

MB Perlis baharu potong gaji RM3,000, Exco baharu RM1,500

Menteri Besar Perlis baharu Abu Bakar Hamzah umum potongan gaji peribadi RM3,000, Exco baharu RM1,500 sebulan bagi kurangkan beban kewangan negeri

KANGAR: Menteri Besar Perlis baharu Abu Bakar Hamzah mengumumkan pemotongan gaji peribadinya sebanyak RM3,000 setiap bulan sebagai usaha mengurangkan beban kewangan kerajaan negeri.

Beliau berkata langkah itu juga akan dilaksanakan terhadap barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) yang akan dilantik selepas rombakan, dengan jumlah dicadangkan sebanyak RM1,500 sebulan.

“Untuk Exco baharu nanti, saya juga akan nasihatkan mereka untuk membuat pemotongan sebanyak RM1,500. Saya boleh potong RM3,000, saya rasa bagi mereka RM1,500, insya-Allah boleh,” katanya.

Abu Bakar menegaskan pengorbanan itu dilakukan untuk rakyat dan memajukan negeri.

“Kita kena bagi khidmat kita kepada negeri dan rakyat…rakyat di bawah yang nak cari RM500 sebulan pun berat. Jadi saya dengan rela hati buat pemotongan ini supaya rakyat nampak pengorbanan yang kita nak buat untuk majukan negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi waktu masuk di Pejabat Menteri Besar di Kompleks Seri Putra hari ini.

Mengenai pelantikan Exco baharu, Abu Bakar akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri terlebih dahulu sebelum menghantar nama calon kepada Raja Perlis.

Beliau berkata jumlah lantikan Exco baharu akan mengambil kira perbelanjaan negeri serta keseimbangan antara PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional.

“Kita nak imbang balik antara kepimpinan yang sedia ada antara dua parti supaya pentadbiran ataupun pelantikan Exco ini dapat diselaraskan dengan baik,” ujarnya.

Abu Bakar mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau semalam.

Beliau mengumumkan pentadbirannya akan berlandaskan konsep 3B iaitu Bangkit, Bingkas dan Buat.

Beliau berkata konsep itu bagi memastikan Perlis mampu mencapai kemajuan selari dengan negeri-negeri lain.

“3B menjurus ke arah bangkit, bingkas dan buat. Itu yang saya dapat ilham untuk kita sama-sama bangunkan Perlis,” katanya.

Abu Bakar menekankan keperluan untuk bangkit daripada kelemahan dan sifat malas.

“Kita kena bangkit daripada tidur, bangkit daripada kelemahan, bangkit daripada sifat malas dan sebagainya, ini kita tekankan kepada diri saya dan juga semua rakyat kakitangan kerajaan,” katanya.

Beliau yakin dengan usaha serta penggemblengan tenaga semua ketua jabatan, kemajuan untuk negeri itu mampu direalisasikan.

Walaupun Perlis sebuah negeri kecil dengan pendapatan terhad, beliau optimis dengan pendekatan baharu.

“Buat masa ini Exco yang sedia ada jadi caretaker untuk apa juga majlis-majlis yang boleh dihadiri,” katanya mengenai fungsi semasa ahli jawatankuasa negeri.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories