the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, January 15, 2026
23.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Medan ujian regulatori untuk kawal selia media sosial dilaksanakan

MCMC jalankan medan ujian regulatori untuk teliti mekanisme kawal selia platform media sosial, termasuk had umur, sebelum pelaksanaan penuh

KUALA LUMPUR: Pendekatan *regulatory sandbox* atau medan ujian regulatori sedang dijalankan bagi meneliti mekanisme kawal selia terhadap platform media sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pendekatan itu bertujuan memastikan kawal selia dilaksanakan secara teratur tanpa menyekat inovasi teknologi.

Beliau berkata beberapa platform media sosial telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung medan ujian berkaitan had umur.

“Sekarang proses medan ujian regulatori itu dan siri perbincangan dengan platform media sosial sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Centre for Responsible Technology (CERT).

Fahmi menambah kerjasama yang diberikan oleh platform media sosial setakat ini adalah baik dan memuaskan untuk usaha medan ujian regulatori.

Beliau berkata Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) 2025 memberi tumpuan kepada kawal selia platform media sosial termasuk arahan melarang kandungan kemudaratan dalam talian.

Kandungan itu termasuk eksploitasi seksual kanak-kanak, iklan judi, penipuan dan jenayah.

ONSA juga membolehkan pengenaan peraturan lain termasuk had umur, dan pelaksanaannya berkait rapat dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Jadi di situ kedua-dua akta ini bergerak bersekali, dibaca bersekali bersama untuk pastikan platform-platform media sosial akan mematuhi isu berkaitan had umum 16 tahun,” katanya.

Mengenai program hari ini, Fahmi berkata CERT merupakan sebuah pusat kajian yang akan ditempatkan bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia).

Pusat itu akan diurus dengan bantuan serta kelolaan MCMC.

Penubuhan CERT adalah berlandaskan keperluan untuk melaksanakan siri kajian berkaitan penggunaan teknologi dan kesannya terhadap masyarakat.

Hasil dan dapatan kajian CERT yang membabitkan pelbagai lapisan masyarakat akan dibawa kepada Jemaah Menteri.

Dalam ucaptamanya, Fahmi menekankan keperluan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) secara bertanggungjawab.

Beliau memberi amaran bahawa penyalahgunaan AI membawa risiko yang semakin meningkat terhadap kelestarian media, demokrasi dan kumpulan rentan.

Fahmi berkata impak ekonomi teknologi lebih baharu termasuk media sosial adalah “sangat melemahkan” bagi organisasi media tradisional.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories