Fadillah Yusof nyatakan mekanisme perdagangan dan penetapan harga Grid Tenaga ASEAN ditentukan negara terlibat tanpa penetapan khusus
KUCHING: Mekanisme perdagangan dan perincian termasuk penetapan harga dalam inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG) ditentukan oleh antara negara terlibat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pada masa ini tiada sebarang penetapan khusus bagi inisiatif APG yang perlu diikuti oleh negara anggota ASEAN.
“Melalui APG kita boleh jual beli tenaga. Maknanya antara negara-negara di ASEAN kita boleh kongsi tenaga tetapi perlu ada perincian perdagangan tersebut.
“Perkara itu (perincian perdagangan) yang harus kita tetapkan termasuk mekanisme tetapi contoh kisah kejayaan sudah ada seperti apa yang berlaku dengan projek integrasi kuasa melibatkan Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura. Konsep ini boleh digunakan sebagai contoh,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis Malam Warisan Budaya Bangsa MADANI Berkhidmat: Misi Sukarelawan Siswa YSS-ASEAN Ke Sarawak 2025 di sini malam ini. – Bernama






