the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, January 9, 2026
22.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Melaka catat 1,976 kes penipuan dalam talian, kerugian RM65.9 juta

Penipuan dalam talian di Melaka catat 1,976 kes dengan kerugian RM65.9 juta, mangsa kini melibatkan golongan profesional termasuk doktor dan peguam.

MELAKA: Sebanyak 1,976 kes penipuan dalam talian direkodkan di Melaka dengan kerugian mencecah RM65.9 juta bagi tempoh dari 1 Januari hingga semalam.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata angka itu membimbangkan memandangkan tempoh tahun ini masih berbaki.

Beliau berkata terdapat perubahan ketara dalam profil mangsa yang kini turut melibatkan golongan profesional.

“Jika sebelum ini kebanyakan mangsa terdiri daripada suri rumah dan penjawat awam, kini statistik menunjukkan mereka yang bekerja seperti doktor, pegawai bank, pengurus, peguam dan guru turut tidak terkecuali,” katanya.

Dalam tempoh sama, sebanyak 1,229 tangkapan dibuat membabitkan 740 pertuduhan.

Mohd Noor Helmy berkata penipuan itu melibatkan pelbagai modus operandi termasuk pelaburan tidak wujud, skim cinta, dan tawaran hadiah percuma.

Beliau berkata teknologi digunakan sindiket penipuan kini semakin canggih, licik dan bersifat berangkai.

“Kita berharap masyarakat mempunyai kesedaran dan tidak membuat keputusan secara tergesa-gesa,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap penglibatan kanak-kanak dan remaja dalam penipuan berkaitan media sosial.

Terdapat kes yang diterima melibatkan kanak-kanak seawal lapan tahun yang terperdaya membeli barangan dalam talian tanpa kebenaran.

Pada tahun ini juga, seorang pelajar sekolah berusia 17 tahun di Melaka kerugian hingga RM300,000 akibat terperdaya tawaran cabutan bertuah.

“Isu ini membuktikan kawalan teknologi sahaja tidak mencukupi tanpa pemantauan rapi ibu bapa,” katanya.

Mohd Noor Helmy turut menyambut baik pelaksanaan lesen wajib untuk penyedia perkhidmatan media sosial bermula 1 Januari depan.

Beliau berkata kawalan ini penting bagi membendung penyebaran penipuan, fitnah dan berita palsu.

“Kawalan ini bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara, sebaliknya memastikan platform berkenaan bertanggungjawab,” katanya. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories