MetMalaysia keluarkan amaran ribut petir di beberapa kawasan Semenanjung dan Sabah, sementara lekukan tropika di Filipina tidak jejas Malaysia.
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah sehingga jam 1 tengah hari.
Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di Pahang (Bera), Selangor (Klang, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Jempol).
Di Sabah, cuaca buruk dijangka melibatkan kawasan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.
MetMalaysia turut memaklumkan mengenai pembentukan lekukan tropika yang dikesan pada jam 8 pagi di latitud 9.5 Utara dan longitud 128.2 Timur.
Sistem itu terletak kira-kira 219 kilometer timur laut Gingoog City, Filipina dan bergerak ke arah barat pada kelajuan 10 km sejam.
Lekukan tropika tersebut mempunyai kelajuan angin maksimum 56 km sejam.
MetMalaysia memaklumkan lekukan tropika tidak memberi sebarang kesan signifikan kepada Malaysia.
Jarak terdekat sistem itu dari Malaysia adalah kira-kira 1,211 kilometer dari Semporna, Sabah. – Bernama







