Kementerian Pertahanan buat laporan polis dan siasatan dalaman berikutan kebocoran maklumat sensitif pegawai kanan ATM sebelum kelulusan pelantikan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) telah membuat laporan polis berikutan dakwaan kebocoran maklumat sensitif membabitkan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata siasatan dalaman juga dijalankan susulan pendedahan nama, jawatan dan pergerakan tugas pegawai tersebut kepada umum.
Beliau menegaskan keputusan muktamad pengisian jawatan tertinggi ATM masih belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Bagi setiap jawatan, dua atau tiga nama akan disyorkan, bukannya hanya satu. Namun, apa yang tular hanya menyebut satu nama, sekali gus memberi gambaran seolah-olah keputusan muktamad sudah dibuat,” katanya.
Mohamed Khaled menekankan sebarang pelantikan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.
Beliau berkata pendedahan maklumat sebelum kelulusan rasmi adalah tidak wajar dan boleh mengundang risiko keselamatan.
“Angkatan tentera tidak mendedahkan siapa yang memerintah kem tertentu, siapa bertanggungjawab terhadap unit logistik atau artileri, mahupun peranan operasi pegawai kanan kerana ia boleh mendedahkan butiran keselamatan yang kritikal,” jelasnya.
Semalam, Mindef dalam kenyataan memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan maklumat terperingkat.
Langkah itu susulan penularan naratif spekulatif serta senarai pegawai kanan ATM yang dikaitkan dengan jawatan strategik di media sosial.
Menurut kementerian, perbuatan mendedahkan maklumat terperingkat boleh disiasat mengikut beberapa akta termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.








