the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, January 19, 2026
24.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Mindef lepaskan tanah rizab, sasar lama untuk rumah anggota ATM

Kementerian Pertahanan sedia tukar status tanah rizab dan lapang sasar lama di seluruh negara bagi projek perumahan mampu milik Satu Anggota Satu Rumah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) bersedia melepaskan tanah rizab dan lapang sasar lamanya di seluruh negara untuk dijadikan tapak projek perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu perlu kerana banyak tanah milik kementerian kini telah dikelilingi kawasan perumahan awam.

“Daripada terlepas kepada pihak lain dan kerana ia memang disediakan untuk ATM, maka wajarlah tanah-tanah yang sesuai itu kami tukar untuk dijadikan projek rumah SASaR supaya banyak anggota berpeluang membeli rumah,” katanya.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti tanah rizab di Pahang dan Pulau Pinang serta dua lapang sasar lama bagi tujuan tersebut.

Mohamed Khaled berkata projek Residensi Sateria di Sungai Besi adalah projek SASaR pertama yang berjaya disiapkan sepenuhnya melibatkan 3,500 penerima kunci.

Beliau menyifatkan projek itu sebagai intervensi kerajaan yang penting bagi membolehkan anggota tentera memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik.

“Harga-harga yang ditawarkan melalui projek ini semuanya pada harga mampu milik, sekitar RM150,000 sehingga RM250,000. Jauh lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Selain projek di Sungai Besi, projek sama juga sedang dilaksanakan di kawasan Kem Wardieburn dan Setapak.

Beliau memberi jaminan kementerian akan terus memantau setiap projek yang dirancang melalui Pelan Tindakan Perumahan 3.0.

“Di dalam sebuah rumahlah kehidupan terbina, terlahirnya kasih sayang, nilai kekeluargaan dan rasa kebersamaan. Atas dasar itulah, menyediakan rumah menjadi satu daripada agenda yang teramat penting dalam Kementerian Pertahanan,” katanya.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories