Wednesday, October 29, 2025
24.5 C
Malaysia
spot_img

MITRA agih penuh RM100 juta untuk 34 inisiatif masyarakat India

The Sun Webdesk

MITRA agihkan RM100 juta untuk 34 program PPSMI 2025, fokus pendidikan, keusahawanan, kerohanian dan kesejahteraan sosial masyarakat India.

KUALA LUMPUR: Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) telah mengagihkan sepenuhnya peruntukan RM100 juta bagi tahun 2025 untuk melaksanakan 34 inisiatif di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (PPSMI).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata program ini memberi tumpuan kepada empat bidang utama pembangunan.

Bidang tersebut ialah pendidikan dan latihan, keusahawanan dan kerjaya, kerohanian dan kebudayaan, serta kesejahteraan sosial.

Antara inisiatif diluluskan termasuk Program Dharma MADANI untuk memperkasa rumah ibadat Hindu sebagai pusat komuniti dengan peruntukan RM20 juta.

Projek menambah baik peralatan dan perabot di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat peruntukan RM12.8 juta.

“Kesemua program ini kini berada pada peringkat penyaluran dana dan dijangka selesai menjelang November 2025,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat.

Bantuan sekali bayar untuk penambahbaikan rumah kediaman pekerja ladang India B40 diperuntukkan RM10 juta.

Program Bantuan Subsidi Dialisis bernilai RM10 juta akan memanfaatkan lebih 1,000 pesakit dialisis.

Ramanan menjelaskan semua program dilaksanakan berpandukan Garis Panduan Pengurusan yang diluluskan Jabatan Perdana Menteri.

“Sejajar semangat ketelusan dan keterbukaan, saya telah mengarahkan MITRA memaparkan senarai penerima bagi semua inisiatif berkenaan di laman web rasmi MITRA,” katanya.

“Kerajaan MADANI dan MITRA sentiasa terbuka, telus dan tiada apa yang hendak disembunyikan.”

Beliau menegaskan Program Bakul Makanan MADANI bukan pertama kali dilaksanakan menggunakan dana MITRA.

Di bawah kerajaan terdahulu, MITRA membelanjakan RM6 juta untuk 24,467 penerima pada 2020, diikuti RM14 juta (2021) dan RM4.6 juta (2022).

Tahun ini hanya RM804,000 diperuntukkan untuk program tersebut.

Program tahun ini dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama dengan peruntukan RM500,000 melibatkan 5,100 penerima.

Fasa kedua dengan peruntukan tambahan RM304,000 akan diagihkan sebelum hujung tahun ini.

Bantuan diagihkan melalui kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia bersama sukarelawan NGO serta pemimpin tempatan kepada masyarakat India B40.

Ramanan berkata inisiatif Bakul Makanan MADANI merupakan langkah intervensi pantas kerajaan bagi membantu meringankan beban masyarakat India B40 sempena Deepavali.

Amanah Ikhtiar Malaysia kini sedang mengumpul senarai nama penerima dan senarai lengkap akan dipaparkan di laman web rasmi MITRA tidak lama lagi. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img