Menteri Pertahanan akan beri kenyataan esok berhubung isu perolehan ATM, kata Fahmi Fadzil selepas sesi Permukiman Kerajaan MADANI 2026
BANGI: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan memberikan kenyataan berhubung isu perolehan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) esok.
Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu dimaklumkan dalam program Permukiman Kerajaan MADANI 2026 yang dihadiri Perdana Menteri hari ini.
“Berkait dengan isu perolehan, tadi ada dimaklumkan bahawa Menteri Pertahanan akan membuat kenyataan esok,” katanya dalam sidang media.
Media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini merakam keterangan seorang pegawai kanan ATM bagi membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan dana.
Fahmi berkata kerajaan menegaskan supaya setiap isu ditangani secara tuntas bagi mengelak timbulnya persepsi salah.
“Kepentingan kepimpinan terutama anggota pentadbiran Jemaah Menteri adalah segera memastikan maklumat yang tepat sampai,” katanya.
Beliau berkata rata-rata anggota Jemaah Menteri memahami apa yang perlu dilakukan untuk menangani sesuatu isu dengan tuntas.
Ditanya sama ada kontroversi lain turut dibincangkan, Fahmi berkata tiada isu khusus dibincangkan secara terperinci.
Kerajaan fokus mengenai perkara yang perlu dilakukan bagi mengatasi sebarang isu atau permasalahan.
“Kita ambil prinsip bagaimana perlu kita atasi isu-isu dan masalah-masalah ini,” katanya.









