Ahmad Zahid sahkan Mohd Naim Kurniawan, anak Allahyarham Bung Moktar, sebagai calon BN di PRK Kinabatangan, pilihan raya diadakan 24 Januari.
SEKINCHAN: Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Mohd Naim Kurniawan dinamakan sebagai calon BN bagi kerusi Parlimen Kinabatangan pada Pilihan Raya Kecil akan datang.
Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Mohd Naim, anak bekas Pengerusi UMNO Sabah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Ahmad Zahid turut mengarahkan calon itu memulakan gerakan kempen bagi memastikan kerusi tersebut kekal menjadi milik BN.
“Sebagaimana diketahui, GRS tidak akan meletakkan calonnya, dan saya telah menghubungi Ketua Menteri Sabah mengenai perkara itu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pengumuman Pakej Lengkap Desa Kirana di sini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata beberapa parti lain juga mungkin tidak akan meletakkan calon kerana mereka baru sahaja menghadapi pilihan raya negeri.
“Jadi mungkin jalan terbaik ialah untuk berunding, lagipun untuk Pilihan Raya Umum ke-16, mungkin kurang daripada dua tahun, jadi saya fikir eloklah tenaga itu disimpan,” katanya.
Ditanya kemungkinan BN bakal menang mudah, Ahmad Zahid berkata pihaknya mengambil pendekatan untuk tidak memandang rendah suasana politik di Sabah.
“Kita jangan pernah ambil mudah terhadap kemenangan, kita tidak tahu mungkin ada calon bebas akan menawarkan diri, mungkin ada parti-parti kecil di negeri Sabah juga akan menawarkan diri,” katanya.
Beliau berharap Mohd Naim dapat menang bagi melaksanakan baki perkhidmatan Allahyarham Bung Moktar.
Mengenai kerusi DUN Lamag, Presiden UMNO itu berkata pengumuman calon akan diuruskan Pengerusi UMNO Sabah Datuk Jaffry Ariffin.
Beliau berkata beberapa nama telah dikemukakan dan akan diumumkan tidak lama lagi.
Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya Bung Moktar meninggal dunia pada 5 Disember lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari 2026.
Penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari.
Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada 29 November lepas. – Bernama








