MELAKA: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Wilayah Selatan menyasarkan jumlah penganjuran latihan berkaitan keselamatan di tempat kerja yang dilaksanakan pihaknya tahun ini meningkat 20 peratus.
Ketua Pejabat NIOSH Wilayah Selatan (Melaka) Abdullah Monsi Ahmad Sarbini berkata ia berdasarkan permintaan tinggi yang diterima pihaknya mutahkir ini daripada pemain industri untuk melaksanakan kursus-kursus berkenaan.
Beliau berkata tahun lepas NIOSH Melaka melaksanakan lebih 1,000 sesi latihan membabitkan kira-kira 15,000 peserta.
“Kita banyak mendapat permintaan daripada pemain industri minyak dan gas terutama yang beroperasi di Melaka untuk melaksanakan kursus Non-Competency Programme bagi Safe and Defensive Driving,“ katanya kepada Bernama di sini hari ini.
“Untuk kursus Safe and Defensive Driving ini sahaja kita menerima permintaan daripada kira-kira 300 kontraktor yang akan menjalankan operasi mereka di loji penapisan itu bermula hujung bulan ini,” tambahnya.
Sehubungan itu Abdullah Monsi berkata pihaknya telah merangka sembilan sesi kursus sepanjang Januari ini khusus buat kontraktor-kontraktor berkenaan.–Bernama









