Operasi menyelamat mangsa banjir di Pahang diteruskan tanpa henti dengan jumlah mangsa meningkat kepada 3,796 orang ditempatkan di 48 pusat pemindahan sementara.
KUANTAN: Operasi menyelamat mangsa banjir di Pahang diteruskan tanpa henti susulan peningkatan jumlah penduduk terjejas.
Setakat 4 petang, aplikasi Infobencana JKM merekodkan 3,796 mangsa daripada 1,206 keluarga berada di 48 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuantan, Maran, Rompin dan Pekan.
Angka itu meningkat berbanding 2,860 mangsa daripada 889 keluarga yang ditempatkan di 29 PPS di Kuantan, Maran dan Rompin tengah hari tadi.
Operasi memindahkan penduduk sudah memasuki hari ketiga bermula Isnin di Kuantan, yang dilaksanakan dalam keadaan hujan berterusan.
Pengarah APM Pahang Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata setiap pasukan terdiri daripada enam hingga lapan anggota yang bergerak menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau lori.
“Kami bertugas round the clock (sepanjang masa) dan motivasi anggota masih berada dalam tahap yang baik ketika ini,” katanya.
Beliau berkata antara cabaran dihadapi ialah paras air meningkat dengan ketara di sebahagian kawasan disebabkan hujan lebat.
Namun operasi tetap dijalankan tanpa mengabaikan aspek keselamatan.
Pasukan penyelamat terdiri daripada APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia digerakkan sepenuhnya.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan jalan yang dinaiki air dan ditutup kepada lalu lintas.
“Perlu juga mengelakkan aktiviti berhampiran arus deras, longkang, parit dan sungai, dan sentiasa memantau makluman rasmi daripada pihak berkuasa,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa pemantauan dan penugasan anggota akan diteruskan bagi memastikan keselamatan penduduk serta kelancaran operasi bantuan bencana.








