Operasi pemadaman kebakaran empat premis di Olak Lempit mencapai 95%, dijangka selesai petang ini dengan tiga mayat rentung ditemui.
BANTING: Operasi pemadaman kebakaran empat premis di Kawasan Perindustrian Olak Lempit di sini telah mencapai tahap 95%.
Operasi dijangka dapat selesai sepenuhnya petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata operasi kini berada pada fasa pemeriksaan lanjut.
“Kita sedang padamkan baki tompok bara kecil yang masih ada,” katanya.
Beliau berkata JBPM turut menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan pasukan Discipline Body Recovery.
Pergerakan itu adalah untuk pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tiada lagi mangsa terperangkap.
Tiga mayat rentung setakat ini ditemui dalam gudang pertama yang terbakar.
Gudang milik Pentas Flora itu menyimpan minyak terpakai.
Kebakaran turut memusnahkan sepenuhnya sebuah kilang polimer berhampiran.
Bahang haba daripada kebakaran menyebabkan kerosakan kepada dua premis lain.
Premis terjejas ialah sebuah kilang pemprosesan minyak terpakai dan sebuah gudang perabot.
Siasatan punca kebakaran telah dimulakan dan dijangka mengambil masa sehingga 14 hari.
JBPM menerima panggilan kecemasan pada 11.03 malam semalam.
Sebanyak 69 pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.








