Thursday, October 30, 2025
25.6 C
Malaysia
spot_img

Pendakwaan tolak bantahan pembelaan terhadap pernyataan saksi SPRM

The Sun Webdesk

Pendakwaan kes rasuah Lim Guan Eng kata bantahan pembelaan terhadap 23 perenggan pernyataan saksi SPRM adalah pramatang.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah projek terowong dasar laut membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa bantahan yang dikemukakan pihak pembelaan terhadap 23 perenggan dalam pernyataan saksi pegawai penyiasat kes berkenaan, adalah pramatang.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata setakat ini, 37 saksi pendakwaan telah memberi keterangan dan mahkamah tidak akan bergantung semata-mata kepada keterangan saksi ke-38 (SP38), Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli, yang juga pegawai penyiasat kes Lim.

“Hampir kesemua perenggan yang dibantah oleh pihak pembelaan mempunyai perkataan ‘hasil siasatan’, ini menunjukkan SP38 telah menjalankan siasatan kompleks dalam kes ini dan beliau perlu memaklumkan kepada mahkamah hasil siasatannya.

“Mahkamah tidak semestinya terikat dengan pendapat saksi ini kerana di akhir kes, mahkamah masih perlu menguji kesemua keterangan secara keseluruhan dengan keterangan lain untuk membuat dapatan undang-undang dan dapatan fakta,” katanya semasa perbicaraan kes rasuah Lim membabitkan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Sementara itu, TPR Mahadi Abdul Jumaat berkata pada peringkat ini pihak tertuduh tidak diprejudis, kerana beliau masih mempunyai peluang untuk mencabar keterangan SP38 semasa sesi soal balas.

“Persepsi daripada SP38 tidak semestinya seiring dengan dapatan mahkamah, tetapi ia bukanlah alasan untuk menghalang beliau daripada memberikan pandangan berdasarkan fakta yang ada di hadapannya.

“Oleh itu pihak kami memohon mahkamah menolak bantahan daripada pihak pembelaan dan membenarkan pendakwaan untuk meneruskan soalan lanjut kepada SP38,” katanya.

Terdahulu, peguam Ramkarpal Singh mewakili Lim mendakwa SP38 yang ditugaskan untuk menyiasat kes tersebut, memberikan keterangan yang bersifat berat sebelah terhadap ahli politik itu.

Peguam itu berkata tindakan SP38 yang memberitahu mahkamah bahawa projek terowong dasar laut ini merupakan “land scam” dan penggunaan perkataan seperti “tidak telus”, “terburu-buru” dalam pernyataan saksinya hanyalah pendapat peribadinya, dan pihak pembelaan memohon kesemua 23 perenggan tersebut dipadamkan daripada rekod prosiding.

Hakim Azura Alwi menetapkan 12 Nov ini untuk menyampaikan keputusan berkenaan permohonan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi, Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

Cape EMS subsidiary champions Malaysia’s clean energy shift with industry leaders at Micci event

Cape EMS subsidiary Cape Renewables brought together top energy experts at a Micci forum to explore battery storage, solar innovation, and EV charging—advancing Malaysia’s low-carbon transformation and green-tech growth.
spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img