Nurul Izzah Anwar sambut respons positif rakyat Sabah terhadap PH dalam PRN, tekankan komitmen parti selepas kempen.
PENAMPANG: Penerimaan rakyat Sabah terhadap Pakatan Harapan (PH) dan calon parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dilihat sangat positif.
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah minggu lepas menyumbang kepada reaksi positif penduduk.
Beliau menyifatkan kebanyakan rakyat Sabah sebagai amat peramah dan terbuka untuk menilai tawaran PH berdasarkan fakta.
BACA: PH sedia jadi rakan strategik bentuk kerajaan Sabah
“Kami minta supaya pilihan (pengundi) berasaskan fakta dan saya amat bersyukur dengan respons yang sangat positif,” katanya kepada pemberita.
Beliau bercakap semasa mengadakan Tinjauan Mesra Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog di Pasar Tamu Donggongon.
Nurul Izzah yang juga Pengarah Bersama Kempen Pilihan Raya PKR menekankan komitmen parti tidak terhenti selepas kempen.
“Selepas berkempen dan hari mengundi, ialah bagaimana mereka boleh memberikan khidmat dan cuba menyelesaikan masalah (rakyat),” katanya.
Semasa kunjungan lebih sejam itu, beliau disambut mesra peniaga dan pengunjung pasar.
Mereka turut menyanyikan lagu “Selamat Hari Jadi” untuk meraikan ulang tahun kelahiran Nurul Izzah.
Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 November manakala undi awal pada 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.
Calon PH Remysta Jimmy Taylor bertanding di DUN Moyog antara 11 calon lain. – Bernama







