Mahkamah Tinggi Johor Bahru kekal hukuman 10 tahun penjara terhadap peniaga pukul isteri hamil hingga koma dan melahirkan anak OKU.
JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun terhadap seorang peniaga kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap isterinya yang hamil sehingga wanita itu koma.
Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad menolak rayuan Rosmaini Abd Raof, 42, terhadap sabitan serta hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen.
Mahkamah turut menolak rayuan silang pihak pendakwaan untuk menambah hukuman selepas mendapati hukuman 10 tahun terhadap Rosmaini adalah memadai.
Hakim Atan Mustaffa berkata tiada asas mencukupi untuk mengganggu dapatan serta keputusan mahkamah perbicaraan berhubung sabitan dan hukuman.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dengan tambahan jaminan RM10,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM25,000.
Rosmaini didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah Nordin @ Sylvester, 46, dengan memukul kepala, muka dan tangan serta menghentakkan kaki ke belakang tangan wanita itu yang ketika itu hamil 10 minggu.
Kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin pada jam 6 pagi, 4 Mei 2021.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum.
Pada 25 Februari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Rosmaini untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.
Rosmaini sebelum ini sempat dipenjarakan 79 hari selepas Mahkamah Sesyen mensabitkannya atas pertuduhan itu pada 9 Disember tahun lepas.
Jahidah yang juga bekas penjawat awam dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban selepas rawatan awal di ICU Hospital Sultanah Aminah.
Wanita itu selamat melahirkan seorang bayi lelaki secara pembedahan pada 30 November 2021 dan kanak-kanak itu kini disahkan berstatus Orang Kurang Upaya. – Bernama




                                    





