Seorang pensyarah wanita hilang RM914,758 selepas terpedaya skim pelaburan saham palsu di media sosial yang menjanjikan keuntungan pantas.
JASIN: Seorang pensyarah wanita mengalami kerugian RM914,758 selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui media sosial sejak Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert berkata mangsa berusia 40 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan belajar dagangan saham sebelum mengklik pautan iklan tersebut pada 28 Julai.
Mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui WhatsApp dan diperdaya menyertai pelaburan kononnya mampu memberi keuntungan dalam tempoh dua hingga lima minit.
“Mangsa diarahkan memuat turun aplikasi berkenaan melalui pautan yang diberikan bagi tujuan pendaftaran,” katanya dalam kenyataan.
Dari 1 September hingga 18 Oktober, mangsa melakukan 20 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza menggunakan wang simpanan, pinjaman bank dan pinjaman ahli keluarga.
Mangsa kemudian diarah membuat bayaran tambahan RM20,000 sebagai yuran suku tahun sebelum keuntungan boleh dikeluarkan.
Mangsa menyedari ditipu dan membuat laporan di Balai Polis Jasin pada 23 November.
Polis sedang menyiasat kesemua akaun bank terlibat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Lee menasihatkan orang ramai berwaspada dan buat semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.
“Penggunaan akaun persendirian untuk menerima wang pelaburan adalah antara tanda amaran awal skim tersebut meragukan,” katanya.
Orang ramai digesa menyemak nombor telefon, akaun bank atau nama syarikat meragukan melalui portal semakmule.rmp.gov.my sebelum transaksi.
Masyarakatakat disaran hubungi National Scam Response Centre (NSRC) melalui talian 997 dalam tempoh 24 jam jika menjadi mangsa penipuan. – Bernama







