Penyertaan pelajar TVET meningkat kepada 439,000 dengan kadar kebolehpasaran sehingga 100%, sasaran 70% menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13.
KUALA LUMPUR: Penyertaan pelajar dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dijangka meningkat kepada 70% menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penyertaan semasa berada pada tahap 53.9%.
Peningkatan ini didorong oleh kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi serta peluang gaji yang lebih baik, khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar.
“Kita tahu ramai pelajar lepasan sekolah menengah kini memilih TVET sebagai laluan utama untuk melanjutkan pelajaran,” katanya.
Beliau berkata jumlah pelajar TVET meningkat daripada 190,000 kepada 439,000 dalam tempoh tiga tahun.
Peningkatan ini melibatkan 1,368 institusi TVET di seluruh negara.
“Ini bermaksud kita telah melakukan game changer dalam mengubah ekosistem pendidikan,” katanya ketika berucap pada program Chit Chat MADANI di Bangunan Parlimen.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan berkata kadar kebolehpasaran graduan TVET di bawah KKDW mencapai 98.7%.
Akademi Binaan Malaysia di bawah CIDB mencatatkan kadar kebolehpasaran 100%.
Graduan dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 TVET menerima gaji premium sekitar RM2,500 berbanding gaji minimum nasional RM1,700.
“Sebab itu kerajaan memberi perhatian terhadap TVET, dan keutamaannya adalah kepada pelajar luar bandar,” katanya.
Kerajaan akan terus menjadikan TVET sebagai bidang utama memacu transformasi ekosistem tenaga kerja belia.
Peruntukan TVET meningkat daripada RM6.8 bilion kepada RM7.5 bilion dalam tempoh setahun.
Tahun depan, peruntukan akan dinaikkan kepada RM7.9 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri. – Bernama










