Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai selepas lawatan negara enam hari ke Arab Saudi dan Bahrain
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat berangkat tiba di tanah air hari ini, selepas mengadakan lawatan negara selama enam hari ke Arab Saudi dan Bahrain bermula 3 Nov lepas.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim hari ini, pesawat peribadi Seri Paduka Baginda mendarat di Hangar Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada 8.30 pagi tadi.
Berangkat menyambut keberangkatan tiba Sultan Ibrahim ialah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail
Sebaik tiba, Sultan Ibrahim berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Statik Askar Timbalan Setia Negeri Johor.
Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli serta barisan Jumaah Majlis Diraja Johor dan barisan Exco.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berangkat pulang dari Bahrain pada Sabtu dengan pesawat khas dari Lounge Diraja, Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain, Muharraq pada 8 malam (1 pagi waktu Malaysia). – BERNAMA






