Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah berkata pelantikan barisan exco baharu boleh diteruskan dengan minimum empat ahli susulan keputusan PAS.
KANGAR: Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah (gambar) berkata pelantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu boleh diteruskan dengan sekurang-kurangnya empat ahli.
Beliau berkata jumlah minimum lantikan barisan Exco negeri ialah empat orang, iaitu satu pertiga daripada bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Lantikan Exco ini tidak akan ada masalah sebab minimum ialah empat (orang), ada empat tanpa Menteri Besar,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra hari ini.
Kenyataan itu susulan keputusan PAS untuk tidak menyertai barisan pentadbiran negeri di bawah kepimpinannya.
Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa PAS memutuskan untuk tidak menganggotai Exco baharu yang akan dibentuk Abu Bakar.
Takiyuddin berkata semua anggota Exco sedia ada daripada PAS akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti, seiring dengan peletakan jawatan Menteri Besar terdahulu, Mohd Shukri Ramli.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata portfolio barisan Exco baharu nanti berkemungkinan akan dirangkumkan atau dimansuhkan supaya tidak membebankan.
Abu Bakar, 57, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis dari Bersatu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Ahad lepas.








