Seorang pesara wanita, 73 tahun, kehilangan RM537,058 selepas diperdaya sindiket yang mendakwa beliau terlibat dalam kes pengubahan wang haram
BUKIT MERTAJAM: Seorang pesara penjawat awam berusia 73 tahun mengalami kerugian RM537,058 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian.
Mangsa membuat laporan polis pada 7 Disember selepas diperdaya sejak 29 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata mangsa menerima panggilan daripada lelaki yang mendakwa dirinya pegawai polis Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Suspek mendakwa mangsa terlibat dalam kes AMLA melibatkan akaun bank yang didaftarkan di Kangar, Perlis.
Panggilan itu kemudiannya disambungkan ke Balai Polis Kangar untuk bercakap dengan “pegawai polis” yang lain.
Mangsa kemudian diarahkan menyerahkan semua kad ATM dan nombor pin dengan meletakkannya di perhentian bas berdekatan rumahnya.
Mangsa yang takut bertindak mengikut semua arahan yang diberikan.
Wang simpanan berjumlah RM537,058 telah dipindahkan ke akaun bank yang diberikan suspek dari 3 September hingga 6 Disember.
Semakan dengan pihak bank mendapati wang mula dikeluarkan dari 27 November hingga 5 Disember secara berperingkat.
Wang dikeluarkan menggunakan kad ATM di beberapa buah bank di kawasan Lembah Klang.
Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan rangkaian sindiket penipuan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk kesalahan penipuan. – Bernama







