Pilihan raya Persekutuan dan negeri serentak dapat jimat kos dan masa pengundi, kata Ng Suee Lim yang sokong penuh cadangan Anthony Loke.
KLANG: Pelaksanaan pilihan raya peringkat Persekutuan dan negeri secara serentak dapat meringankan beban rakyat terutamanya dari segi penjimatan kos.
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Datuk Ng Suee Lim menyokong penuh cadangan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke agar semua negeri sepakat menjalankan pilihan raya akan datang secara serentak.
“Masa juga dapat dijimatkan sebab kalau kita buat secara berasingan memberikan masalah kepada pengundi juga pemimpin,” katanya pada Majlis Graduasi Hos Komuniti Setempat Selangor di sini.
Beliau menegaskan pilihan raya serentak membolehkan pengundi hanya pulang sekali sahaja untuk menunaikan tanggungjawab mengundi.
Pada Sabtu lepas, Loke sekali lagi menyatakan pendirian DAP yang menyokong pelaksanaan pilihan raya serentak sebagai langkah memastikan kecekapan serta penjimatan kos pengurusan pilihan raya.
Ketika berucap di Konvensyen Tahunan Negeri DAP Johor 2025, Loke berkata DAP sebagai parti dominan dalam kerajaan akan memberikan pandangan untuk menyelaras pembubaran sekiranya pilihan raya serentak mahu dilaksanakan.
Meskipun keputusan membubarkan Parlimen merupakan kuasa mutlak Perdana Menteri, beliau menekankan pentingnya penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan negeri. – Bernama









