Menteri MITI galak PKS manfaatkan pertumbuhan sektor perindustrian dan NIMP 2030 untuk berkembang, berinovasi dan teroka pasaran luar
KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu memanfaatkan kekukuhan serta pertumbuhan perindustrian negara untuk berkembang, berinovasi dan meneroka pasaran luar supaya kekal berdaya saing di arena global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keteguhan berterusan sektor perindustrian dan pembuatan Malaysia telah menjana prestasi perdagangan yang amat baik.
Eksport negara bernilai RM1.3 trilion bagi tempoh dari Januari hingga Oktober tahun ini.
Sejak Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dilancarkan, nilai tambah sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat 13.5% atau RM45.3 bilion.
Nilai tambah itu mencecah RM382 bilion pada 2024, menunjukkan pertumbuhan berterusan disumbangkan oleh pelaburan lebih tinggi dan pengembangan perniagaan serta peningkatan eksport.
Guna tenaga meningkat 8.5% atau 222,000 kepada 2.84 juta pada 2024, menunjukkan peningkatan peluang pekerjaan yang stabil dalam industri.
Tengku Zafrul berkata untuk memanfaatkan pertumbuhan itu, tahap kesediaan PKS kekal sebagai keutamaan.
Dalam usaha terus kekal berdaya saing di peringkat global, PKS mesti berkembang, berinovasi dan meneroka pasaran luar disokong oleh akses kepada modal, teknologi, bakat serta panduan yang boleh dipercayai.
“Kita mesti berevolusi untuk kekal berdaya saing,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Makan Malam Anugerah Pembuatan Pintar Malaysia.
Beliau memberi contoh misi NIMP 2030 untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar bukan sekadar sasaran malah juga ikrar untuk memastikan industri Malaysia kalis masa depan.
Misi itu merangkumi automasi, penyepaduan digital, penggunaan data dan kemahiran tambahan bagi tenaga kerja.
Tengku Zafrul juga menyuarakan penghargaan kepada kalangan penerima dan calon penerima anugerah di samping memuji peranan mereka dalam membentuk semula landskap pembuatan negara.
Beliau berkata mereka membuktikan Malaysia berupaya bersaing di peringkat global.
“Kita meraikan peneraju dalam penerimagunaan digital dan pemangkin digital iaitu penyedia teknologi tempatan dengan mengiktiraf kecemerlangan dalam kategori PKS Pintar, Syarikat Peringkat Pertengahan Pintar, Kecemerlangan Teknologi dan Kemasyarakatan.
“Paling penting, kita mengiktiraf kepimpinan, pembangunan keupayaan dan dimensi kemanusiaan dalam kemajuan industri,” katanya. – Bernama








