Perdana Menteri arah peruntukan disediakan untuk ganti segera titi gantung yang runtuh di Lata Rek, Kuala Krai, bagi jamin keselamatan penduduk.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan peruntukan disediakan untuk menggantikan segera titi gantung yang runtuh di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan.
Arahan itu dikeluarkan bagi menjamin keselamatan dan kemudahan rakyat setempat.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), kerja penggantian akan dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi berkaitan.
Tindakan pantas dan berkesan itu bagi menjamin akses penduduk setempat.
Anwar memandang serius insiden runtuhan titi gantung yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam.
Kejadian itu turut menjejaskan akses harian penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar.
“Perdana Menteri menzahirkan simpati dan keprihatinan mendalam kepada lebih 50 mangsa yang terlibat dalam kejadian itu khususnya pasangan pengantin dan keluarga yang diuji dengan musibah,” menurut PMO.
Semalam, media melaporkan titi gantung yang dilalui tetamu majlis perkahwinan tiba-tiba runtuh.
Kejadian itu menyebabkan lebih 50 orang terjatuh ke dalam Sungai Chatel Damai di Lata Rek.








