Mayat wanita ditemui dalam beg di Rembau dipercayai dibunuh di Ampang selepas pergaduhan kewangan, dua lelaki ditahan membantu siasatan
SEREMBAN: Polis percaya wanita yang ditemui maut pada Khamis lepas dibunuh di sebuah rumah di Ampang, Selangor sebelum mayatnya dimasukkan ke dalam beg dan ditanam di Kampung Batu 4, Pedas, Rembau.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Muhammad Idzam Jaafar berkata siasatan mendapati wanita itu dicekik selepas berlaku pertengkaran dengan suspek berusia 51 tahun di rumah mangsa.
“Pergaduhan berpunca daripada isu kewangan dengan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Muhammad Idzam berkata setakat ini mayat belum dituntut kerana identitinya masih tidak disahkan.
Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) juga belum diperoleh.
Pada Khamis lepas, mayat seorang wanita ditemui dalam beg ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4.
Polis kemudian menahan dua lelaki berusia 51 dan 41 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Identiti wanita itu belum dapat disahkan berikutan keadaan mayat yang sudah mereput.
Mayat dipercayai telah meninggal dunia melebihi tiga hari.








