Polis rakam percakapan aktivis Fahmi Reza dan rampas telefon dalam siasatan hantaran media sosial didakwa menghina Institusi Diraja Johor
KUALA LUMPUR: Polis merakam percakapan aktivis dan pereka grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin (dalam gambar) berhubung satu kenyataan berunsur fitnah yang didakwa menghina Institusi Diraja Johor di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata polis turut merampas telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan bagi tujuan siasatan.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Setakat ini, polis telah menerima 284 laporan polis berkaitan isu itu dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Kumar menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang bersifat menghina institusi diraja mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Sebelum ini, tular di Facebook satu hantaran oleh Fahmi Reza yang dikatakan menyentuh Institusi Diraja Johor.
Beberapa pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan serta wakil rakyat di negeri itu telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut. – Bernama








