Polis merampas 112 mercun bernilai RM400,000 dan menahan seorang lelaki dalam serbuan di Triang, Bera, menjelang Tahun Baharu Cina.
BERA: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 112 jenis mercun bernilai RM400,000 dalam satu serbuan di Triang.
Ketua Polis Daerah Bera Superintenden Zulkiflee Nazir berkata serbuan itu dilakukan kira-kira jam 6 petang Jumaat lepas.
Beliau berkata suspek berusia 54 tahun itu dipercayai pemilik dan penjaga mercun yang diimport dari China.
“Mercun itu dipercayai diimport dari China dan disimpan tanpa sebarang lesen sah bagi tujuan pemilikan atau penjualan,” katanya.
Zulkiflee berkata mercun bernilai tinggi itu disasarkan untuk dijual menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Beliau berkata stok itu dibawa masuk lebih awal untuk perayaan lain juga.
Suspek ditahan reman tiga hari bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Sementara itu, polis telah meluluskan kira-kira 30 lesen penjualan mercun sempena musim perayaan.
Zulkiflee berkata setiap permohonan akan dinilai dari segi kesesuaian lokasi dan keselamatan.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menjual mercun tanpa lesen.
Polis akan mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan di daerah itu.








