Polis Negeri Sembilan tahan dua lagi suspek kes tembak maut di Sendayan, Seremban, menjadikan jumlah empat suspek kesemuanya.
KUALA PILAH: Polis menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan kes seorang lelaki maut ditembak dan ditetak berhampiran sebuah restoran di Sendayan, Seremban pada 19 November.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata kedua-dua lelaki berusia 46 dan 35 tahun itu ditahan pada Sabtu lepas di sekitar Seremban.
Mereka direman sehingga 28 November manakala perintah tahanan reman terhadap dua suspek sebelumnya berusia 32 dan 29 tahun disambung sehingga 1 Disember.
“Setakat ini 10 saksi dirakam percakapan dan kami masih mengenal pasti punca kejadian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI PDRM di Kampung Parit Seberang di sini.
Alzafny menyatakan semua empat suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah termasuk kes kekerasan, samun dan dadah.
Mangsa yang berusia 33 tahun juga mempunyai banyak rekod jenayah menurutnya.
“Kita tidak menolak kemungkinan kejadian disebabkan aktiviti kongsi gelap atau berkumpulan,” tambah Alzafny.
Beliau berkata siasatan setakat ini menjurus kepada kongsi gelap atau geng tertentu.
Maklumat yang diperoleh juga mengaitkan suspek dan mangsa dalam beberapa kes samun di Negeri Sembilan serta Lembah Klang.
Bedah siasat oleh pakar forensik Hospital Rembau mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kesan tembakan di kepala.
Dalam perkembangan lain, Alzafny berkata statistik Kadar Jenayah Indeks Negeri Sembilan menunjukkan penurunan 7.9% bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
Pada 2024, sebanyak 1,856 kes jenayah dicatatkan berbanding 1,709 kes untuk tempoh sama tahun ini.
Jenayah membabitkan kerugian harta benda menurun daripada 1,473 kes kepada 1,402 kes tahun ini.







