Polis Johor tahan tujuh lelaki dan seorang wanita suspek kes merusuh bersenjata di restoran Permas Jaya, kes disiasat bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan
JOHOR BAHRU: Polis menahan tujuh lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes merusuh menggunakan senjata di sebuah restoran di Bandar Baru Permas Jaya, Masai.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kejadian berlaku pada 11.05 malam Sabtu lepas di sebuah restoran makanan Cina.
Beliau berkata punca kejadian dipercayai berpunca daripada masalah peribadi dan perasaan cemburu.
Siasatan awal mendapati sekumpulan lelaki dianggarkan 20 orang menyerang dua mangsa menggunakan kerusi plastik dan botol kaca.
Serangan itu menyebabkan seorang mangsa mengalami kecedrian di bahagian muka dan badan.
Kesemua lapan suspek yang ditahan berusia antara 17 hingga 46 tahun.
Seorang daripada mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.
Polis turut merampas tujuh unit telefon bimbit bagi tujuan siasatan.
Ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.
Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.
Kesemua suspek dibenarkan direman tiga hari hingga 24 Dis bagi membantu siasatan lanjut.
“Polis masih giat mengesan suspek lain yang terlibat,” kata Raub.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Insiden itu tular di laman Facebook melalui video berdurasi satu minit 29 saat.
Video itu memaparkan sekumpulan lelaki berpakaian hitam memukul dua lelaki yang sedang makan menggunakan objek seperti kerusi sebelum dileraikan orang awam.








