Polis Negeri Sembilan tahan lelaki 63 tahun disyaki terlibat dalam kejadian letupan IED di Desa Palma, Nilai, dan menemui 31 lagi peranti di rumahnya
SEREMBAN: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian letupan di kawasan Desa Palma, Nilai.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata lelaki berusia 63 tahun itu ditahan di sekitar Mantin.
“Ya, lelaki itu sudah ditahan dan dihantar ke hospital kerana cedera, satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat berkaitan penahanan terbabit,” katanya.
Letupan pada 22 Disember lepas itu berpunca daripada penggunaan bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED).
Semalam, Alzafny berkata suspek dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal khusus dalam pembuatan bahan letupan.
Kenyataan itu dibuat berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki berkenaan.
Polis turut menemukan 31 lagi IED di rumah suspek.
Semua bahan letupan yang ditemui itu telah dimusnahkan oleh pihak polis.
Pada Isnin lepas, polis menerima laporan orang awam mengenai objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada pukul 7.08 pagi.
Siasatan kemudian menemukan objek yang disyaki sebagai IED di lokasi kejadian.








