Polis Negeri Sembilan terima arahan terbaharu AGC untuk lengkapkan siasatan kematian murid tahun empat di tandas sekolah pada 1 Oktober.
SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan menerima semula kertas siasatan daripada Pejabat Peguam Negara berhubung kes kematian seorang murid tahun empat.
Ketua Polis Negeri Datuk Alzafny Ahmad berkata terdapat arahan terbaharu yang perlu diambil tindakan sebelum kertas siasatan dikembalikan kepada AGC.
“Memandangkan kertas siasatan masih dalam proses dilengkapkan sepenuhnya, dimohon mana-mana pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya dalam kenyataan.
Alzafny berkata pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini siasatan sebaik sahaja mendapat arahan daripada AGC.
Kementerian Pendidikan meminta semua elemen berkaitan kejadian itu disiasat secara menyeluruh bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
KPM memaklumkan pihaknya mengambil perhatian penuh terhadap kenyataan oleh keluarga murid berhubung kejadian tersebut.
Media sebelum ini melaporkan murid berusia 10 tahun ditemukan tidak sedarkan diri dalam tandas sekolahnya di Senawang.
Mangsa disahkan meninggal dunia dengan hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan tekanan pada leher.
Tiada sebarang kecederaan lain ditemui pada tubuh mangsa. – Bernama




                                    




